Tuesday 13 December 2011

My Luckiest Essay!

Assalamualaikum.. =)
Today, I wanna share my luckiest essay.. Kalau nak tahu, esei ni la yg saya hantar untuk Pertandingan Menulis Esei Integriri anjuran Institut Integriti Malaysia tahun 2011.. Alhamdulillah, dengan izin Allah, akhirnya saya mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan ni..Syukur.. Tak pernah jangka pun nak dapat.. (><)

So, this is my essay, bertajuk - Penggunaan Laman Sosial Memerlukan Integriti


         Zaman dah berubah, dunia semakin maju. Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia kini semakin meningkat. Penggunaan aplikasi rangkaian sosial atau social networking application pula telah menular sehingga telah menjadi satu perkara yang wajib bagi sebahagian besar pengguna internet di seluruh dunia. Menurut catatan penyelidik di Bahagian Penyelidikan Keselamatan Siber dan Polisi, CyberSecurity Malaysia, sehingga kini terdapat sebanyak 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, dan MySpace. Majoriti pengguna laman sosial ini bukanlah hanya terdiri daripada golongan belia dan remaja, malah kanak-kanak juga semakin lama semakin terdedah kepada kepenggunaan laman sosial ini. Justeru, setiap lapisan masyarakat haruslah mempunyai integriti diri iaitu keutuhan dari semua segi yang baik semasa menggunakan laman sosial ini untuk mengelakkan pelbagai masalah yang mungkin berlaku.


         Antara kesan penggunaan laman sosial tanpa integriti diri adalah pembaziran masa. Individu yang terlalu seronok melayari ruangan laman sosial ini sering kali menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer. Kajian yang dilakukan oleh Grunwald Associates LLC mendapati seseorang individu akan menghabiskan masa kira-kira sembilan jam melakukan aktiviti dalam jaringan sosial ini. Akibatnya, sebagai pelajar, mereka lupa pada tanggungjawab yang diamanahkan seperti membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran. Hal ini akan mendatangkan impak besar dalam pelajaran dan keputusan peperiksaan mereka. Selain itu, hubungan mereka dengan ibu bapa dan keluarga juga akan menjadi renggang. Bagi penjawat awam, jika mereka turut leka dengan penggunaan laman sosial ini semasa bekerja, prestasi kerja mereka akan menurun. Mereka akan lupa pada tugas-tugas lain yang perlu dilaksanakan. Keseronokan pada aktiviti Internet Relay Chatting (IRC) yang berlebihan menyebabkan mereka leka dan tidak menghargai masa yang ada.


         Seterusnya, penggunaan laman sosial yang berterusan juga akan membawa masalah kesihatan kepada seseorang individu. Selalunya, seseorang individu ini akan menghabiskan masa yang lama untuk melayari internet. Adakalanya sehingga lewat malam dan awal pagi. Hal ini akan menyebabkan mereka kurang tidur dan rehat. Bagi pelajar sekolah, hal ini akan mengganggu konsentrasi mereka di dalam kelas dan sesi pembelajaran.Tambahan pula, ada sesetengah individu yang sanggup mengabaikan waktu makan mereka kerana terlalu leka dengan penggunaan internet ini. Akibatnya, badan mereka akan kekurangan stamina dan tidak cergas. Mereka juga akan kerap tidur pada siang hari dan seterusnya mendorong mereka bersikap malas. Badan mereka juga mudah diserang penyakit. Budaya sebegini kelak akan membawa kepada masalah kesihatan mata dan postur badan.


         Di samping itu, kebanyakan perkhidmatan laman sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi yang penting seperti nama penuh, alamat rumah dan nombor telefon. Sistem yang asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial untuk mencari kenalan telah secara tidak langsung mendedahkan pengguna kepada ancaman bahaya seperti risiko kecurian maklumat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, seseorang individu yang tidak bertanggungjawab mungkin boleh menyamar menjadi orang lain yang baik dan cuba berkenalan dengan seseorang yang diingininya lalu seterusnya mengganggu mereka. Penyebaran maklumat palsu juga mudah dilakukan dalam laman sosial ini. Hal ini boleh menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat jika ada antara individu itu jenis yang mudah terpengaruh. Terdapat juga sesetengah maklumat palsu yang disebarkan boleh membuka aib seseorang lantas menimbulkan pergaduhan.   


         Justeru, seseorang individu sama ada pelajar sekolah atau kaum dewasa harusalah mempunyai inisiatif untuk meningkatkan integriti dalam penggunaan laman sosial ini. Mereka haruslah pandai membahagikan masa antara kerja dan hiburan serta mempunyai sikap amanah dalam melaksanakan sebarang tugas. Sememangnya setiap insan memerlukan masa untuk berhibur tetapi mereka haruslah berpada-pada dan janganlah terlalu leka sehingga mengabaikan perkara-perkara penting yang perlu dilakukan. Mereka juga haruslah pandai menjaga diri dan kesihatan. Selain itu, mereka perlulah berpegang kepada prinsip jati diri agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di laman sosial tersebut. Kita haruslah menjadi individu yang berpandangan jauh agar kita bukan sahaja menggunakan laman sosial untuk berhibur, malah dapat membimbing rakan-rakan dan masyarakat yang lain ke arah pembicaraan membina. Contohnya seperti di Facebook, kita dapat mengutarakan sesuatu persoalan atau masalah dan meminta pendapat orang ramai lalu dapat menjurus ke arah pembicaraan yang positif.


         Pihak kerajaan juga haruslah memainkan peranan dalam membentuk integriti dalam diri setiap rakyat. Hal ini dapat mengelakkan penyalahgunaan laman sosial yang semakin rancak digunakan oleh setiap lapisan masyarakat kini. Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah mengadakan kempen ICT yang berteraskan integriti dan ceramah motivasi. Pihak-pihak atasan dalam sesuatu jabatan juga wajarlah memantau penggunaan internet dalam kalangan pekerja. Hal ini penting untuk memastikan tiada pekerja yang memakan gaji buta atau curi tulang semasa bekerja. Budaya integriti ini juga perlulah disemai dalam kalangan belia dan pelajar sekolah agar generasi yang celik IT dapat dibina. Lantaran itu, generasi muda ini dapatlah membuka minda mereka dengan lebih luas mengenai penggunaan laman sosial yang bukan hanya menjurus ke arah hiburan semata-mata.


         Kesimpulannya, penggunaan laman web sosial ini bukanlah 100% membawa keburukan kepada seseorang individu. Semuanya terletak kepada diri pengguna laman itu sendiri untuk menjadi insan yang berintegriti dalam penggunaan internet masa kini.


The End.. Honestly, for me, esei ni masih ada beberapa kekurangan yang perlu dibaiki.. For example,

  1. PENDAHULUAN seeloknya tidak perlulah terlalu panjang n as Cg. Aina [my BM teacher] said,       pendahuluan tak perlu ada contoh..
  2. Nak 'meletop' lagi, tambah la hadis atau nama menteri..
  3. Balance kan keburukan/kebaikan n langkah2..atau pilih salah satu je..
That's all 4 today! Comment2 lah ye..Give me yur opinion! =) 

No comments: