Thursday 15 December 2011

My Favourite Malay Essay! =)

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah..malam ni kenyang sangat...makan my favourite dish - TOM YAM! Hehe.. =)
OK! Back to the main post, malam ni nak share 1 karangan yg saya tulis betul2 lahir dari sekeping hati ini.. Esei ni ditulis waktu Ujian Selaras 2 tahun 2011.. Haha..yup..time tu tgh exam la.. Saya igt lagi, exam ni berlangsung lepas rehat.. So, bila time rehat tu, me n my friend, Madihah Mahzan went to Dewan Selera. Sambil2 makan, we discuss bout tajuk2 yg maybe keluar utk bhgn C Penulisan.. Tiba2, Madi usulkan tajuk CITA-CITA.. With a grin, I said I will absolutely choose PILOT'S CAREER as my essay..

Then, when the exam start..Oh My! I 'm so grateful because the question bout my ambition is in! So, here it is - Alasan Kukuh Saya Memilih Kerjaya Sebagai Juruterbang
          
          Seorang pelajar cemerlang haruslah mempunyai cita-cita yang tinggi. Oleh itu, saya telah menanamkan cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Kerjaya sebagai juruterbang bukanlah semudah yang disangka. Hal ini kerana seorang juruterbang bertanggungjawab untuk membawa puluhan penumpang di dalam pesawat sampai ke destinasi dengan selamat. Namun begitu, saya berani menyahut cabaran tersebut dan menyertakan beberapa alasan yang kukuh saya memilih kerjaya sebagai juruterbang.

          Alasan yang pertama ialah saya amat meminati bidang yang lasak dan mencabar. Hal ini kerana, setiap hari, seorang juruterbang akan menghadapi pelbagai jenis cabaran yang mungkin membahayakan nyawa di samping menimba pengalaman yang baharu. Juruterbang juga dapat melawat pelbagai tempat dan destinasi yang menarik. Hal ini bersesuaian dengan hobi saya iaitu melancong. Seorang juruterbang yang mahir dan profesional pula akan diberi peluang untuk membawa pesawat ke destinasi di luar negara. Hal ini dapat menambah pengalaman saya jika saya menjadi seorang juruterbang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Keadaan ini berbeza dengan kerjaya lain seperti saintis yang selalunya menghabiskan masa di dalam makmal untuk melakukan penyelidikan. 

          Selain itu, kecemerlangan saya dalam pelajaran juga telah meyakinkan saya untuk menceburi profesion sebagai juruterbang. Untuk menjadi seorang juruterbang, keputusan yang cemerlang dalam subjek Fizik, Matematik, dan Matematik Tambahan amatlah dititikberatkan. Oleh itu, saya akan bersungguh-sungguh dan melipatgandakan usaha saya dalam mata pelajaran tersebut agar saya dapat memperoleh keputusan yang cemerlang. Seorang juruterbang juga mestilah mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Justeru, saya telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sekolah seperti Pertandingan Bercerita, Taekwondo dan olahraga untuk meningkatkan lagi keyakinan diri serta kecergasan fizikal dan mental seperti pepatah alah bisa tegal biasa. 

          Di samping itu, saya amat gemar akan suasana di dalam lapangan terbang dan di dalam pesawat. Di lapangan terbang, terdapat pelbagai jenis ragam manusia yang menarik hati. Tambahan pula, sifat peramah yang ada dalam diri saya akan memudahkan saya untuk berinteraksi dengan mereka dan menambah kenalan baharu. Dari dalam pesawat pula, saya dapat melihat pelbagai bentuk muka bumi ciptaan Allah yang amat unik. Hal ini dapat memupuk rasa bersyukur atas kurniaan Allah dalam diri saya. Pemandangan tersebut juga dapat mententeramkan hati dan fikiran saya. 

          Seterusnya, kerjaya sebagai seorang juruterbang juga menawarkan gaji yang lumayan. Pelbagai keistimewaan lain seperti diskaun untuk tiket penerbangan juga boleh didapati jika bekerja sebagai juruterbang. Oleh itu, hal ini dapat memudahkan saya untuk membawa keluarga melancong ke pelbagai destinasi menarik di dalam dan luar negara. Tambahan pula, semua ahli keluarga saya berkongsi hobi yang sama iaitu melancong. Saya juga dapat membina hidup yang senang dan menyara keluarga terutama ibu bapa saya jika saya bekerja sebagai juruterbang. Walaupun banyak masa seorang juruterbang dihabiskan di lapangan terbang dan di dalam pesawat, namun seseorang juruterbang itu masih boleh mengambil cuti dan meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

          Kesimpulannya, alasan yang telah saya berikan sudah cukup kukuh bagi saya untuk meneruskan cita-cita sebagai seorang juruterbang. Walaupun pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditempuh, saya akan tetap tabahkan hati dan bertawakkal kepada Allah yang Maha Esa dalam setiap perkara yang saya lakukan. Saya akan terus berpegang kepada prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, bagi merealisasikan cita-cita saya itu.

TAMAT..Oh Ye! Nak tau tak, haritu lepas turun flight kat airport Penang je, terus nampak 3 orang pilot mat salleh..hehehe.. Handsome2 belaka woo... ;p   

No comments: